KUCHING: Dua tokoh veteran merupakan antara tiga nama yang bakal digugurkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Nama mereka yang masing-masing berusia 77 dan 67 tahun itu dikatakan tidak berada dalam senarai yang akan diumumkan oleh Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Haji Openg di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, pada jam 9.30 pagi, Khamis.

Seorang lagi yang turut dikatakan digugurkan ialah penyandang Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, 64,.

Sumber memberitahu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri akan beralih ke Parlimen Santubong memandangkan beliau merupakan anak tempatan di kawasan tersebut.



Manakala kekosongan yang ditinggalkan Rohani akan diisi oleh seorang calon berusia 37 tahun, yang juga Exco Pemuda PBB, yang berasal dari Kampung Pusa, Betong.

Abang Johari juga dijangka akan mengumumkan 14 calon muka baharu, termasuk calon wanita muda dan calon daripada kalangan pemuda PBB.

Difahamkan, ada Ahli Dewan Undangan Negeri GPS yang memasuki gelanggang pada kali ini, dan ini termasuklah ADUN Dudong yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing, 61, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bintulu untuk penggal keenam, sejak 1999.


Dijangka turut melakukan penampilan semula untuk merampas kembali kerusi lamanya ialah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum, 71.

Salang yang pernah menjawat Timbalan Menteri Tenaga Air dan Komunikasi itu pernah menjadi Ahli Parlimen Julau selama empat penggal sejak tahun 1999.


Pun begitu, pada PRU 2018, beliau tewas kepada Datuk Larry Sng Wei Shien (Bebas) dengan majoriti 1,931 undi.

GPS turut mencalonkan Datuk Seri Richard Riot Jaem, 70, yang sekali gus menjadi calon paling berpengalaman, kerana telah bertanding dan menang sebanyak lapan kali dalam PRU sejak 1990.

Bekas Menteri Sumber Manusia ini mula bertanding di Parlimen pada usia 39 tahun sebagai calon Bebas, sebelum menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Turut disenaraikan ialah beberapa Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, termasuk, Datuk Seri Doris Brodie, Ketua Wanita PRS yang pernah menjawat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara di Parlimen Sri Aman.